Impak Maksima ialah sebuah filem buatan Malaysia yang bertemakan aksi lumba kereta haram yang melibatkan teknik drifting. Filem arahan Ahmad Idham yang membariskan bintang muda termasuk Awal Ashaari dan Cat Farish serta pelakon terkenal Eizlan Yusof ini ditayangkan di 59 buah pawagam Malaysia dan Brunei sejak 23 Ogos 2007, dan mengutip sebanyak RM 2 juta sepanjang tayangannya di Malaysia. Inilah kali kedua Ahmad Idham mengarah sebuah filem bertema perlumbaan haram selepas Remp-It yang kontroversi pada tahun 2006.
Filem Impak Maksima turut disusuli oleh dua buah siri TV (Impak Maksima the Series dan Rempit vs Impak Maksima) dan sebuah pementasan muzikal Impak Maksima the Musical.Idea untuk tajuk filem ini lahir daripada sebuah lagu daripada kumpulan KRU iaitu Impak Maksima.
Plot
Ayie (Awal Ashaari) ialah seorang anak muda yang masih menuntut di salah sebuah institusi pengajian tinggi. Ayie amat gemar dengan sukan bermotor iaitu lumba kereta, Ayie sering melibatkan diri dengan perlumbaan kereta haram dan melepak bersama 2 orang rakan baiknya iaitu rakan sekolej Loyai (Cat Farish) dan Amran (Opie Zami), seorang mekanik kereta. Ayie sering ditegur oleh abangnya, Johari (Eizlan Yusof) yang telah menjaganya semenjak ibubapanya meninggal dunia. Johari mengusahakan sebuah bengkel kereta di mana tempat Amran bekerja. Suatu ketika dahulu, Johari seorang pelumba rally profesional tetapi telah berhenti kerana tidak mahu adiknya mengikut jejaknya.
Ayie juga begitu terkenal di kalangan pelajar-pelajar kolej, Ayie telah terserempak dengan seorang bernama Eva Liana (Yatt) yang begitu cantik dan telah menarik perhatiannya. Tumpuan Ayie lebih diberikan kepada Eva, sehingga sudah mula kurang untuk berlumba dan melepak dengan rakan-rakan. Suatu hari Loyai didatangi Ray (Zul Huzaimy), seorang pusher dan terkenal dengan aktiviti haramnya. Ray ingin mencabar Ayie dalam satu perlumbaan Drag tetapi Ayie telah menolak kerana Ayie sudah ada temu janji dengan Eva Liana. Tanpa pengetahuan Loyai, Amran telah bertemu dengan Ray untuk menerima pelawaan Ray dengan mempertaruhkan wang sebanyak lima ribu ringgit.
Pada hari yang dijadualkan, maka berlangsunglah perlumbaan antara Amran dan Ray. Berita kekalahan Amran telah diketahui Loyai. Loyai dan Ayie sama-sama mencari Amran kerana mereka tahu bahawa Amran berada di dalam bahaya. Dalam pada mereka berbincang, Ray tiba untuk memukul Amran dan Amran yang panik telah melarikan diri dengan keretanya. Berlakulah adegan kejar mengejar di antara mereka, keadaan bertambah tegang apabila polis peronda melihat mereka membawa kereta begitu laju dan telah mengejar mereka. Ketika cuba melarikan diri daripada di kejar polis Amran telah terbabit dalam kemalangan, Ayie yang melihat kejadian tersebut cuba menyelamatkan Amran tetapi Amran tidak dapat diselamatkan dan Ayie telah ditahan atas tuduhan memandu secara berbahaya di jalan raya.
Johari kecewa dengan kejadian yang menimpa Amran dan Ayie. Di balai, Johari telah didatangi Maria, seorang polis menyamar yang telah lama menjejaki aktiviti Ray. Mereka berbincang dan satu cara sahaja yang boleh menyelamatkan Ayie. Polis meminta Johari mengaturkan perlumbaan dengan Ray untuk menangkap Ray dan Johari telah meminta pertolongan Loyai untuk mengaturkannya. Johari yang sudah lama berhenti berlumba telah berlatih semula dengan bantuan Loyai.
Pelakon
- Awal Ashaari sebagai Ayie, watak utama.
- Eizlan Yusof sebagai Johari
- Zul Huzaimy sebagai Ray
- Cat Farish sebagai Loyai
- Yatt sebagai Eva
- Dynas sebagai Maria
- Opie Zami sebagai Amran
Sumber : Wikipedia
No comments:
Post a Comment