Sunday, 22 October 2017

Sukan Sea Kuala Lumpur 2001

Sukan Asia Tenggara 2001 (Bahasa Inggeris: 2001 Southeast Asian Games), secara rasminya dikenali sebagai Sukan Asia Tenggara ke-21(Bahasa Inggeris: 21st Southeast Asian Games) merupakan temasya sukan Asia Tenggara yang pernah diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia. Kali ini merupakan kali kelima Malaysia menganjurkan Sukan Asia Tenggara dan juga kali pertamanya sejak 1989. Sebelum ini, Malaysia juga menganjurkan temasya 1965, temasya 1971 dan temasya 1977.

Temasya sukan ini merupakan Sukan Asia Tenggara yang pertama pada abad ke-21, dan temasya yang pertama pada alaf ke-3. Kira-kira 4165 atlet dari 10 negara peserta menyertai temasya sukan tersebut yang menampilkan 391 acara dalam 32 sukan. Temasya sukan ini diadakan dari 8 hingga 17 September 2001, walaupun beberapa acara telah berlangsung dari 1 September 2001. Temasya sukan dibuka oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Salahuddin dan ditutup oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Tuan rumah Malaysia digelar juara keseluruhan mengikut jadual pingat rasmi, diikuti Thailand dan Indonesia dari belakang. Beberapa rekod Asia, temasya dan kebangsaan telah dipecahkan ketika temasya sukan berlangsung. Dengan sedikit atau tanpa kontroversi, temasya sukan tersebut secara umumnya diadakan dengan jayanya dengan peningkatan taraf pertandingan antara negara Asia Tenggara.

Sukan Asia Tenggara ke-21
2001seagames.png
Bandar tuan rumahKuala Lumpur
NegaraMalaysia
Cogan kataBersama-sama kita melakukan yang terbaik
Penyertaan negara10
Penyertaan atlet4165
Acara391
Upacara pembukaan8 September 2001
Upacara penutup17 September 2001
Dirasmikan oleh
Sultan Salahuddin

Yang di-Pertuan Agong
Pembaca ikrar AtletNoraseela Mohd Khalid
Pembawa OborDaud Ibrahim
Stadium UtamaStadium Nasional Bukit Jalil

Temasya sukan
Upacara pembukaan

Lebih daripada 15,000 sukarelawan termasuk 7,000 pelajar sekolah terlibat dalam upacara pembukaan temasya sukan, dan demi mencipta penganjuran Sukan SEA di tiga buah bandar buat kali pertama. Upacara pembukaan rasmi selari di Stadium Larkin di Johor Bahru dan Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang menjadikan sukan SEA pertama alaf baru sebuah acara yang paling dikenangi.

Semasa bunga api menerangi langit Stadium Nasional Bukit Jalil, lebih daripada 50,000 orang bersorak dan bergembira menyambut pencapaian emas hari tersebut dan temasya Sukan dua minggu yang dipertandingkan 10 negara Asia Tenggara. Lebih 5,000 penonton dan atlet memberi sorakan yang bergema apabila almarhum Yang di Pertuan Agong Salahuddin mengistiharkan pembukaan temasya sukan SEA diikuti oleh 10 das tembakan meriam penghormatan. Sorakan dan tepukan yang gemuruh daripada penonton membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil. Keterangsangan tercetus terutamanya apabila anggota payung terjun membawa bersama bendera-bendera negara peserta.

Perdana Menteri Malaysia Keempat Dr. Mahathir Mohamad dan isterinya Dr. Siti Hasmah menaiki 4WD tentera terbuka dan melambaikan tangan ke arah penonton yang menyambut kedatangannya dengan meriah dan penuh bersemangat. Koir yang memainkan lagu patriotik memulakan serantai persembahan termasuk formasi, nyanyian lagu dan tarian. Kemuncak upacara tersebut ialah perbarisan kontinjen negara peserta terdiri daripada 5,000 olahragawan dan olahragawati dari seluruh rantau Asia Tenggara. Mereka diiringi oleh maskot Si Tumas.

Sebaik sahaja setiap kontinjen memasuki stadium, papan keputusan besar elektronik memaparkan ucapan Selamat Datang dalam bahasa kebanggaan masing-masing, seperti Minga la bar (bagi kontinjen Myanmar) dan Mabuhay (bagi kontingen Filipina). Kontinjen Singapura berbaris masuk dengan membawa dua sepanduk yang tertera perkataan " Team Singapore (Pasukan Singapura) mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas kejayaan menganjur Sukan SEA ke-21". Gemuruh yang lantang diberikan kepada kontinjen tuan rumah seramai 558 atlet negara yang diiringi pembawa bendera Nur Herman Majid dan disambut penuh gembira oleh peminat yang mengibarkan bendera Malaysia, Jalur Gemilang. Obor temasya sukan kemudian dibawa masuk stadium oleh bekas bintang bola sepak Soh Chin Aun dan bekas ratu lari trek Maria Lydia D’Vega Mercado dan dibawa 19 pelari lain sebelum bekas jaguh basikal Daud Ibrahim menghabiskan balapan terakhir. Dari atas pentas, dia memegang obor untuk menyala wayar menuju ke obor besar di sebelah hujung stadium. Apabila obor besar dinyalakan, berribu-ribu belon dan konfeti dituang ke atas penonton yang bersorak dan bertepuk tangan. Suasana ini menandakan permulaan gemilang temasya sukan dwitahunan yang terbesar di Asia Tenggara yang kaya dengan budaya.

Upacara penutupan

Upacara penutupan diadakan pada 17hb September 2001 pada sebuah malam berhujan dengan tema: ASEAN: Masa untuk merayakan. Ia dihadiri oleh 100,000 penonton yang berjaya memasuki stadium dan mengambil tempat duduk mereka. Upacara bermula dengan persembahan beberapa selebriti tempatan termasuk Erra Fazira and Ziana Zain.

Selepas itu, anggota-anggota kumpulan terjun payung membuat pendaratan di padang stadium bersama 10 bendera negara yang mengambil bahagian dengan iringan lagu "Jalur Gemilang" yang dinyanyikan oleh sebuah kumpulan koir. Perbarisan memasuki stadium oleh kontinjen mengikut jenis sukan disambut dengan tepukan gemuruh oleh penonton dalam stadium. Susunan bermula dengan peserta-peserta akuatik, diikuti oleh peserta memanah, olahraga dan seterusnya peserta-peserta sukan lain.

Upacara kemudiannya diteruskan dengan persembahan "Citrawarna Malaysia' yang dipersembahkan oleh 300 penari dan 50 pemukul gendang menggegarkan stadium dengan gema irama yang mencerminkan kepelbagaian irama lagu serta tarian tradisional rakyat berbilang kaum di negara ini. Kemudian, Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil, penunggang kuda Ekuestrian Malaysia telah diisytiharkan sebagai Olahragawan Temasya, sementara pelari pecut Olahraga Thailand Supavadee Khawpeag telah diistiharkan sebagai Olahragawati Temasya.

Selepas Perdana Menteri Mahathir Mohammad mengistiharkan penutupan temasya, bendera Persekutuan Sukan Asia Tenggara telah diturunkan dan kawah obor telah dipadamkan. Pengerusi Persekutuan Sukan Asia Tenggara dan pengerusi Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Tunku Imran ibni Tuanku Ja’afar kemudiannya menyerahkan bendera temasya dan baton kepada presiden Majlis Olimpik Vietnam dan Menteri Sukan, Nguyen Danh Thai, lambang tanggungjawab Sukan SEA secara rasminya diserahkan kepada Vietnam, tuan rumah Sukan Asia Tenggara 2003. Lagu Kebangsaan Vietnam dimainkan semasa Bendera Kebangsaan Vietnam dinaikkan. Selepas itu, sebuah persembahan segmen Vietnam 11-minit yang bertajuk "Selamat Datang ke Vietnam" (Welcome to Vietnam) telah dipersembahkan oleh penari wanita Vietnam dengan membawa sehelai bendera gergasi berwarna merah bersama mereka. Persembahan tersebut dibahagikan kepada tiga babak. Upacara berakhir dengan sebuah persembahan segmen perpisahan Malaysian dengan bunga api dilepaskan ke atas langit serentak dengan 21 pendaki gunung turun dari bumbung dengan menggunakan tali diikat pada mereka dan mengagihkan hadiah kepada sesetengah penonton yang bernasib baik manakala belon dan kertas-kertas kecil berwarna-warni ditaburkan ke udara. Sebuah konsert khas kemudiannya diadakan oleh artis terkenal seperti Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Sheila Majid dan Amy of Search.

Negara-negara bertanding
  •  Brunei (147)
  •  Kemboja (92)
  • Indonesia (593)
  • Laos (134) 
  • Malaysia (673)
  • Myanmar (359)
  • Filipina (542)
  • Singapura (497) 
  • Thailand (697)
  • Vietnam (431)
Sukan

  • Akuatik
  • Terjun (8)
  • Renang (32) 
  • Renang berirama (2) 
  • Polo air (1)
  • Memanah (4)
  • Olahraga (46)
  • Badminton (7)
  • Bola Keranjang (2)
  • Boling (12) 
  • Tinju (11)
  • Billiard dan snuker (10) 
  • Lumba basikal (20)
  • Ekuestrian (7)
  • Lawan pedang (5)
  • Bola sepak (2)
  • Golf (4)
  • Gimnastik (20)
  • Hoki (2)
  • Judo (14)
  • Karate (19)
  • Boling padang (6)
  • Bola jaring (1)
  • Pencak silat (21)
  • Pétanque (6)
  • Lumba dayung (8)
  • Lumba layar (13)
  • Sepak takraw (3)
  • Menembak (36)
  • Skuasy (4)
  • Ping pong (7)
  • Taekwondo (16)
  • Tenis (7)
  • Bola tampar (2)
  • Polo air (1)
  • Angkat berat (13)
  • Wushu (20)
Sumber: ms.wikipedia.org/wiki/Sukan_Asia_Tenggara_2001


No comments:

Post a Comment